Monday, June 9, 2008

Berikutan Daripada Kenaikan Harga Minyak

Petikan dari malaysiakini.com

BANTAHAN

Lagi demo bantah harga minyak Abdul Rahim Sabri | Jun 6, 08 5:11pm dikemaskini Satu lagi demonstrasi kecil membantah kenaikan mendadak minyak diadakan di hadapan sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya sejurus selepas solat Jumaat hari ini.

Demonstrasi aman itu - sekurang-kurangnya keempat diadakan seluruh negara sejak semalam - yang dianjurkan oleh Angkatan Muda (AMK) PKR bahagian Petaling Jaya Selatan (PJ selatan) disertai lebih kurang 50 orang.

Ia disertai ahli parlimen PJ selatan, Hee Loy Sian, timbalan ketua bahagian tersebut Shariffudin Budin dan wakil AMK bahagian Mahhrul Ismail.

Demonstrasi lebih kurang 15 minit bermula 2 petang, sejurus orang ramai selesai menunaikan solat, turut menarik perhatian ahli kariah dan pengguna jalan raya. Kira-kira 60 orang lagi menyaksikan perhimpunan tersebut.

Hee mengajak rakyat menukar kerajaan BN dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

"Adakah kita berpuas hati?" katanya. "Mari tumbangkan kerajaan."

Shariffudin turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel RM1 sejak kelmarin, dengan mengangkat satu keratan akhbar The Star hari ini kepada orang ramai.

"Apakah tanda ini? Kalau tak turun harga petrol, rakyat akan turunkan kerajaan," katanya, sambil mengangkat keratan berita 'Shahrir: Why now and not in August'

"Kita membantah sekeras-kerasnya kenaikan harga minyak."

Datuk Shahrir Samad, menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna, menjadi sasaran kritikan kerana beliau sebelumnya dilaporkan berkata kenaikan dijangka menjelang Ogos.

Sepanduk-sepanduk yang dijulang dalam perhimpunan itu, antaranya, 'Pemimpin munafik berkata... tiada kenaikan minyak untuk tahun ini?', 'Kerajaan Pakatan Rakyat akan turunkan harga minyak 24 jam', 'Undilah BN untuk kenaikan harga minyak' dan 'Tahniah! Kepada pengundi BN, inilah hadiah untuk anda'

Ditemui selepas itu, Shariffudin (foto kiri) berkata demontrasi itu bertujuan melihat reaksi awal daripada penduduk di situ.

Wajah penduduk di situ memang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak, tambahnya.

Selain beberapa masjid lagi di seluruh negara, satu demonstrasi kecil dianjurkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.
Kira-kira 200 orang berhimpun secara aman selama 15 minit di hadapan masjid jamek bagi membantah kenaikan harga minyak.

Perhimpunan anjuran Ikatan Kebajikan Rakyat (Ikrar) berjalan tanpa sebarang masalah.

Di Sungai Petani, Kedah, perhimpunan untuk tujuan yang sama dilaporkan diadakan selepas solat Jumaat.

Semalam sekurang-kurangnya tiga demonstrasi membantah kenaikan mendadak harga minyak dilaporkan diadakan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Kuching.

Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi bagi membantah harga bahan bakar itu, lapor Bernama.

Timbalan ketua polis negara Datuk Ismail Omar, dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklumat hasil risikan polis, terdapat beberapa pihak sedang merancang mengadakan siri demonstrasi di beberapa lokasi di seluruh negara.

"Tujuan demonstrasi ialah untuk membantah kenaikan harga petrol dan diesel. Di sini saya ingin menegaskan sebarang perhimpunan perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah," katanya.

Semalam, Gabungan Anti-Inflasi (Protes) merancang menggerakkan ribuan orang untuk menyertai bantahan kenaikan besar harga itu di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.

Penganjur bercadang mengumpulkan "lebih ramai daripada perhimpunan Bersih" November lalu sewaktu menuntut pilihanraya yang bebas dan adil.

"Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar," kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

ABIM : MINTA KAJI SEMULA KENAIKAN MINYAK

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, keputusan kerajaan menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel sebanyak RM1, adalah pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat.

"Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," kata Setiausaha Agungnya, Khairul Arifin Mohd Munir.

Menurutnya, kenaikan harga minyak akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang keperluan, yang pastinya membebankan, terutama di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

"Mereka yang tinggal di bandar merupakan golongan yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup yang tinggi yang segalanya bergantung kepada kuasa membeli bagi mendapatkan sesuatu barang, berbanding di kampung, yang setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

"Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global, namun demikian Abim beranggapan, tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi," katanya.

Kenaikan tersebut secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenaikan tersebut juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi rakyat.

"Bahkan Abim juga berpendapat, kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara.

"Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya," tambahnya.

Tujuh saranan

Khairul Ariffin berkata, menyedari implikasi akibat kenaikan harga minyak terhadap rakyat, maka Abim menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif berikut:

Mengkaji mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan.

Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Pemimpin, jabatan, serta agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan pembaziran dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak, wajar diperangi habis-habisan.

Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

Memantau harga barang keperluan yang masih menerima subsidi dari kerajaan, agar tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran kenaikan harga minyak.

Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.

ISU MINYAK, PAS GESA SIDANG GEMPAR

Jun 9, 08 1:38pm

Ahli-ahli parlimen PAS menggesa persidangan tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak.

Salahuddin Ayub, yang juga ketua whip PAS, menyerahkan satu surat permohonan kepada yang dipertua Tan Sri Datuk Pandikar Amin Mulia hari ini.

Wakil rakyat Kubang Kerian berkata, kenaikan harga bahan api ini telah memberi kesan berantai dan tekanan inflasi yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang lebih tinggi.

Kenaikan itu, katanya lagi, juga memberi kesan kepada pengangkutan harian rakyat, tetapi seluruh pengangkutan perdagangan, industri dan sektor-sektor ekonomi yang lain termasuk pertanian dan perikanan.

Surat tersebut telah diserahkan kepada ketua pentadbir Parlimen, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria di pejabatnya kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Beliau berharap yang dipertua Dewan Rakyat akan memanggil ahli-ahli parlimen untuk berbahas mengenai isu ini minggu ini atau awal minggu hadapan.

Turut bersama Salahuddin, Dr Dzulkifli Ahmad dan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali - masing-masing ahli parlimen Kuala Selangor dan Titiwangsa.

1 comment:

Anonymous said...

pak dollah ni yg patut letak jawatan....gagal melaksanakan kebajikan rakyat....kemahuan kroni lbh penting drp rakyat....bila masa mau letak...hang 2 dah nyanyuk dahhh